18 December 2013

CINTA INI BIARLAH KU PENDAM

 
Mungkin agak klise jika aku memulakan cerita ini dengan sebuah kisah cinta semenjak dari zaman sekolah lagi. Apabila seorang gadis muda telah jatuh cinta pandang pertama atau mungkin pandang kedua dan sebagainya dengan rakan kelasnya sendiri.

Namun itulah hakikatnya hanya berbeza sedikit. Sebuah kisah cinta yang tiada pengakhiran. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi namun masih mengharapkan sesuatu yang indah akan terjadi.Ini kisahku,Hanani.

Suatu pagi yang damai dan tenang dengan kicauan burung bagai meraikan aku kerana diterima masuk ke Kolej Matrikulasi. Namun,itu bukanlah hari yang menggembirakan bagi aku kerana seumur hidupku aku tidak pernah berjauhan dari keluarga walaupun kenyataannya Kolej itu hanya 5 minit perjalanan dari rumahku. Bagi sesiapa yang mendengar pasti kedengaran agak lucu di telinga mereka. Dengan deraian air mata aku melangkahkan kaki ke Kolej itu dihantar oleh kedua ibu bapaku.

Oleh kerana cita-citaku adalah untuk sampai ke menara gading,maka dengan berat hatinya aku mendaftarkan juga diri ke kolej tersebut. Hari yang penuh sesak itu telah aku tempuhi. Tanpa aku duga ada kelibat seseorang yang aku kenali berada di situ. Turut mendaftarkan diri di kolej yang sama. Namun kerana perasaan yang tidak pasti maka aku biarkan sahaja. Usai mengemas bilik aku pun berkenalan dengan rakan sebilik ku.

Nor namanya. Berasal dari Johor juga dan rakan sebilik ku yang lagi seorang bernama Assyakirin anak orang kaya yang berasal dari Kuala Lumpur. Bilik yang bersaiz sederhana tetapi besar sedikit daripada bilikku di rumah itu menempatkan seramai 4 orang. Namun,bilik kami hanya telah dimasuki oleh 3 orang sahaja.

Hari pertama di dalam minggu orientasi pun bermula.Kami dikehendaki turun ke Masjid An-Nur seawal jam 5 pagi lagi untuk solat Subuh berjemaah. Pada hari yang sama juga kami telah melakukan pelbagai aktiviti setelah dibahagikan mengikut kumpulan yang mana aku tidak ingat berdasarkan apa kami dibahagikan. Pada hari itu juga kami dibahagikan mengikut kelas. Kami harus mencari kelas masing-masing berdasarkan senarai nama yang ditampal di tiang lampu dan juga pokok. Begitu banyak sekali senarai yang harus kami lihat. Maka dengan itu akupun segera melangkahkan kaki untuk mencari namaku bagi mengelak daripada didenda kerana tidak mengetahui kelas sendiri.

Hasil kerja kerasku,aku pun menjumpai namaku dan segera melangkah ke barisan kelasku. Ternyata aku adalah pelajar perempuan pertama yang tiba di barisan itu. Tidak jauh daripada barisan kelasku,aku terlihat kelibat Syahid kawan kelasku semenjak dari sekolah rendah lagi.

Maka aku segera menekan punat di telefonku dan segera menekan ‘Send’ untuk bertanya kepada Syahid. Sungguh aku teruja kerana ternyata ada juga orang yang aku kenali di situ. Ternyata dia hanya dua kelas sahaja selepas kelasku. Sungguh ajaib takdir Tuhan ini kerana rakan yang sudah hampir tiga tahun aku tidak temui tiba-tiba ada di depan mataku.

Berita sedih harus aku terima apabila rakan bilikku,Assyakirin, harus mendaftar keluar dari kolej tersebut kerana diterima di universiti lain. Pada zahirnya mungkin aku bersedih namun,di dalam hati aku tidak begitu terasa dengan pemergian dia kerana kami masih belum rapat antara satu sama lain.

Hari berganti hari,Minggu Pengurusan Pelajar Baharu juga sudah tamat. Sungguh tidak akan aku lupakan jasa baik kakak dan abang fasilitator. Minggu kedua di situ,kami telah mulakan kehidupan sebagai seorang pelajar. Menghadiri kelas demi kelas,kuliah demi kuliah dan ternyata aku satu kuliah dengan Syahid. Adalah menjadi kebanggaan buat diriku apabila dapat bertegur sapa dengannya di khalayak ramai. Ini kerana,wajahnya yang agak tampan telah membuatkan dia diminati ramai. Banyak sekali buktinya.

Setelah hampir lima bulan kami di situ maka hari yang bersejarah buatku telahpun tiba. Sungguh aku tidak menyangka bahawa peristiwa itu akan mengubah tanggapanku terhadap Syahid buat selama-lamanya. Pada malam yang sangat gelap,aku dan juga rakan sekelasku telah mengadakan satu jamuan ringkas bagi menyambut ulangtahun kelahiranku dan juga rakanku,Hanis. Selesai jamuan itu,bagi memeriahkan lagi suasana pada malam itu maka kami pun telah bercadang untuk bermain satu permainan yang aku anggap ‘Killer’ kerana agak mencabar iaitu ‘Truth Or Dare’. Seorang demi seorang telahpun ditanya dan bagi aku soalan yang mereka terima itu tidak mencabar langsung.

Akhirnya tiba giliranku untuk disoal. Ini dia,pada mulanya aku hanya mendapat soalan yang sangat mudah dan tidak berbahaya. Tetapi sahabatku Hanis tidak melepaskan aku dengan mudahnya. Diapun bertanya satu soalan dan tanpa berfikir panjang aku segera menuturkan nama Syahid. Sungguh aku berasa malu dan menyesal kerana boleh sahaja aku menipu dengan menyatakan nama orang lain tetapi mengapa nama dia juga yang aku sebut.

Minggu berganti minggu dan peristiwa itu masih sahaja diingati oleh rakan sekelasku sehinggakan aku menjadi malu untuk bertentang mata dengan Syahid. Bermula dari saat itu,maka telah bersemilah rasa cinta di dalam hatiku untuk Syahid.

Biarpun kami telah lama berkenalan tetapi hanya setelah peristiwa itu aku mula menyukainya. Sebagaimana naluriku sebagai seorang perempuan maka aku tidak berani untuk berkata apa-apa dengannya. Sehinggalah aku dikatakn ‘kerek’ olehnya sewaktu aku dan juga rakan sebilikku sedang joging di padang. Terkejut diriku akan kelibatnya yang tiba-tiba sahaja melintas di sebelahku.

Namun demi menutup perasaanku maka aku diamkan sahaja. Tidak aku sangkal dan tidak juga aku setujui.

Kisah yang sama berlarutan sehinggalah kami hampir menghabiskan program matrikulasi. Pada hari terakhir iaitu setelah habis peperiksaan Fizik,kami dikehendaki berkumpul di Dataran Wawasan untuk sedikit majlis perpisahan. Sungguh aku hiba kerana bakal berpisah dengan rakan-rakanku iaitu Azra dan juga Amirah. Oleh kerana terlalu sibuk menghubungi Amirah,aku sehingga tidak begitu peduli dengan kehadiran Syahid di hadapanku. Dia yang tiba-tiba sahaja menegurku. Seharusnya aku memanfaatkan saat itu dengan sebaik-baiknya kerana mungkin itu adalah kali terakhir aku akan melihat dia.

Kami pun berpisah genap tanggal 30 April.

Dan ternyata memang seharusnya itu adalah kali terakhir aku melihat dia.

Biarpun begitu,aku masih sahaja menyimpan perasaan terhadap dia. Aku tidak pernah jemu untuk terus menghubungi dan mengetahui khabarnya.

Namun begitu rasa bahagia itu tidak bertahan lama apabila sebuah kebenaran yang tidak pernah aku lihat sebelum ini tiba-tiba ditunjukkan di hadapanku. Ternyata sebelum kami menghabiskan program matrikulasi lagi dia telah pun dimiliki dan memiliki seseorang di dalam hati.

Sungguh kebenaran yang amat memeritkan. Namunku tabahkan jua hatiku ini kerana hakikatnya dia bukan milikku dan sesungguhnya memang dia tidak ditakdirkan untukku sehinggalah ke saat ini.

Aku hanya mampu menahan diriku daripada menghubunginya lagi kerana dia pasti menginginkan privasi di dalam kehidupannya yang kini telah bergelar seorang mahasiswa. Dan aku juga harus meneruskan kehidupanku sebagai seorang mahasiswi kerana ini impianku. Aku tidak ingin menjadi seorang wanita yang tidak mempunyai kerjaya mantap dan sesuatu untuk dibanggakan. Sungguh aku katakan bahawa bagiku pelajaran adalah lebih penting bagiku berbanding perasaanku yang belum pasti terhadap seorang lelaki yang juga bukan Mahramku.

Pernah aku baca suatu ketika dahulu bahawa "Seorang wanita yang menyembunyikan perasaannya terhadap seorang lelaki yang bukan mahram juga telah melakukan Syahid".

Sehingga masa menemukan kami maka sehingga itulah aku akan cuba untuk melupakan dia dari ingatanku. Semoga akan ada seseorang yang lebih baik darinya untukku di luar sana.Inilah kisahku.

P/S:Memang kurang menarik cerpen ini.Sebab baru first time nak menulis.
HakCipta nurulmatabesar.blogspot.com